ad

60 peratus penerima zakat di Selangor bukan anak negeri

22 Nov 2025, 10:03 AM
60 peratus penerima zakat di Selangor bukan anak negeri

SHAH ALAM, 22 NOV: Dato' Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa 60 peratus penerima bantuan zakat di Selangor terdiri daripada individu yang bukan rakyat negeri ini.

Beliau berkata, dapatan itu berdasarkan rekod terkini Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan menunjukkan sebahagian besar penerima datang dari negeri jiran, disusuli sekitar 10 peratus dari pantai Timur serta selebihnya dari negeri lain.

"Negeri jiran antara penerima terbesar, 10 peratus pantai Timur dan selebihnya negeri-negeri lain.

"Ini tanggungjawab yang Kerajaan Negeri pikul sesuai dengan kerancakan ekonomi, peningkatan jumlah penduduk dalam menangani isu miskin pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri tidak pernah mendiskriminasi sesiapa pun yang tinggal, menetap dan bekerja di Selangor.

“Selangor tidak pernah mendiskriminasi sesiapa yang tinggal, menetap dan bekerja di sini.

“Jika mereka tergolong dalam miskin tegar atau miskin, mereka tetap dibantu melalui ekosistem sokongan yang ada,” katanya.

Semalam, Amirudin berkata hanya seorang individu di Selangor berada dalam kategori miskin tegar.

Katanya, individu tersebut sedang menerima pelbagai bentuk bantuan dan sokongan daripada Kerajaan Negeri.