SEPANG, 22 NOV: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengeluarkan sembilan Notis Kompaun (NTK) dan melaksanakan 10 sitaan dalam operasi penguatkuasaan di kawasan KIP Sentral, semalam.
Pihak berkuasa tempatan itu berkata operasi dijalankan Unit Penguat Kuasa (Unit Malam Zon Selatan) itu turut disertai Unit Taskforce, Unit Penjaja, Unit Iklan dan Unit Tunda.
"Operasi ini memberi tumpuan kepada tindakan terhadap penjaja tidak berlesen.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 9 Notis Kompaun (NTK) dan 10 tindakan sitaan (Inventori) telah dilaksanakan ke atas penjaja di lokasi," katanya.
Tindakan sitaan dan kompaun dilaksanakan mengikut Peruntukan 3, Undang-Undang Kecil Penjaja (Majlis Perbandaran Sepang) 2007 – Menjaja tanpa lesen.
MPSepang turut menasihatkan penjaja agar mematuhi peraturan dan mendapatkan lesen sebelum menjalankan aktiviti perniagaan bagi mengelakkan tindakan kompaun atau sitaan.
"MPSepang akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi memastikan kawasan pentadbiran sentiasa bersih, teratur dan bebas daripada penjaja haram," katanya.





