ad

Amaran banjir di Pasir Mas, Pasir Puteh, Kota Bharu hingga 26 November - JPS

22 Nov 2025, 2:01 AM
Amaran banjir di Pasir Mas, Pasir Puteh, Kota Bharu hingga 26 November - JPS

KOTA BHARU, 22 NOV: Tiga jajahan di Kelantan iaitu Pasir Mas, Pasir Puteh dan Kota Bharu diramal berdepan banjir monsun susulan hujan berterusan tahap waspada yang bermula semalam hingga 26 November.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ramalan itu melibatkan tiga lembangan sungai utama yang berisiko mencatat peningkatan paras air sekiranya hujan lebat berterusan.

“Jajaran yang dijangka terjejas ialah Pasir Mas (Lembangan Sungai Kelantan), Pasir Puteh (Lembangan Sungai Semerak) dan Kota Bharu (Lembangan Sungai Kemasin),” menurut kenyataan itu.

JPS berkata pihaknya menjalankan pemantauan berterusan dan akan mengemas kini hebahan amaran banjir sekiranya hujan signifikan terus direkodkan di kawasan terbabit.

“Banjir yang diramal boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh dijangka. Semua agensi pengurusan bencana dan penduduk, khususnya di kawasan berisiko, diminta sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” menurut JPS.

Orang awam turut disaran mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui portal publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook PublicInfoBanjir.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Kelantan dan Terengganu sehingga Rabu ini (26 November).