ad

MB jawab tuduhan pegawai hidup mewah, serah siasatan kepada pihak berkuasa

21 Nov 2025, 12:59 PM
MB jawab tuduhan pegawai hidup mewah, serah siasatan kepada pihak berkuasa

SHAH ALAM, 21 NOV: Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan terhadap seorang pegawai Pejabat Menteri Besar yang didakwa hidup mewah.

Menurut beliau, pegawai terbabit sudah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) susulan tuduhan tersebut.

“Kita biarkan pihak berkuasa menyiasat. Kalau ada salah laku, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika menjadi tetamu program podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Pejabat Menteri Besar sebelum ini sudah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan kononnya pegawai terbabit memiliki banglo mewah dan aset lain seperti yang tular di media sosial.

Menurut kenyataan itu, tuduhan berkenaan disebarkan menerusi satu kumpulan WhatsApp baharu ketika Amirudin membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, 14 November lalu.

Mengulas lanjut Amirudin berkata nilai integriti tetap jadi keutamaan dalam pentadbiran beliau.

"Bagi saya nilai integriti jadi keutamaan dan kita akan ambil tindakan sebaik mungkin untuk menjaga integriti serta nama dan maruah pejabat MB,"katanya.