SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Selangor telah memutuskan dalam dua Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini untuk membatalkan status sulit dokumen berkaitan Sistem Parkir Pintar Selangor (SIP) yang tertakluk bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu dibuat lebih awal dan tidak perlu menunggu sidang Dewan Negeri Selangor bagi memulakan proses nyahklasifikasi.
“Sebahagian dokumen melibatkan MMKN, dokumen libat mesyuarat penuh terutama majlis memang tertakluk bawah OSA. Namun kita telah menelitinya dalam dua mesyuarat lepas.
“Bagi pihak kerajaan, kita tiada masalah untuk mendedahkan dokumen itu. Namun syarikat (pengendali SIP) ada perancangan mereka, jadi kita tidak boleh dedahkan sepenuhnya kerana pembatalan OSA perlu persetujuan kedua-dua pihak,” katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN–Hulu Kelang) yang membangkitkan dakwaan dokumen berkenaan diklasifikasi sebagai sulit.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri yakin dokumen itu boleh dinyahklasifikasikan kerana semua proses berkaitan SIP dijalankan dengan teliti.
Sementara itu, Amirudin dalam podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan menjelaskan bahawa dokumen mesyuarat kerajaan diklasifikasi secara automatik sebagai sulit, namun Kerajaan Negeri telah menerima permohonan di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI).
“Memang sudah ada permohonan dibuat di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI). Bila mereka mohon, kita akan luluskan. Saya juga telah mewakilkan kepada EXCO untuk menasihati langkah seterusnya.
"Cuma satu perkara yang agak rumit ialah dokumen perjanjian kerana ia melibatkan tiga pihak iaitu MBI, Kerajaan Negeri dan syarikat pengendali. Kerajaan boleh melepaskan bahagian miliknya, tetapi jika syarikat tidak memberi kebenaran—atas faktor perniagaan contohnya, bahagian tersebut tidak boleh didedahkan.
"Namun bagi proses lain, kita tidak mempunyai apa-apa untuk dibimbangkan dan sedia mengemukakannya. Dalam masa terdekat, kita akan menyahtakrif dokumen berkenaan daripada OSA kerana itu memang prosedur biasa kerajaan. Jika permohonan dibuat, sudah pasti kita akan luluskan," katanya.
Bermula 1 Ogos 2025, SIP dilaksanakan secara berfasa di tiga pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Sistem itu diperkenalkan bagi menutup ketirisan hasil parkir yang selama ini hanya mengutip sekitar 30 peratus daripada jumlah sebenar, selain meningkatkan pematuhan pengguna.
Pelaksanaan di tiga PBT tersebut dibuat selepas kontrak pengendalian tempat letak kereta sedia ada tamat pada 31 Julai lalu.




