SHAH ALAM, 21 NOV: Nilai pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor tahun ini dijangka terus meningkat melebihi RM450 bilion selari pelaksanaan pelbagai aktiviti ekonomi negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peningkatan tersebut turut dipacu pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menjadi kerangka pembangunan utama negeri.
“Pada 2022, KDNK melonjak sebanyak RM41 bilion, daripada RM344 bilion kepada RM385 bilion. Pada 2024 pula, peningkatan berjumlah RM26.1 bilion direkodkan.
“Sepanjang tempoh ini, RS-1 dilaksanakan dan secara keseluruhan ia berjaya menyumbang peningkatan ekonomi negeri berjumlah RM106 bilion dari 2021 hingga 2024,” katanya ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Amirudin menjangkakan nilai KDNK negeri akan terus meningkat sekitar RM24 bilion tahun ini dengan adanya peruntukan pembangunan yang membolehkan pelbagai aktiviti ekonomi digerakkan.
RS-1, yang diumumkan pada Julai 2022, bertujuan membentuk ekonomi mampan dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat serta menyokong hasrat menjadikan Selangor penyumbang 30 peratus KDNK negara menjelang 2025.
Antara projek utama di bawah RS-1 ialah Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), yang turut berperanan mengukuhkan ekonomi negeri ketika ekonomi global dijangka perlahan tahun hadapan.
RS-1 disandarkan kepada empat teras strategik iaitu pengukuhan sektor ekonomi, pembangunan sosial, pemacuan agenda kelestarian dan peningkatan kecekapan tadbir urus.
Sementara itu, Rancangan Selangor Kedua (RS-2) akan dibentangkan pada pertengahan tahun depan bagi menetapkan hala tuju sosioekonomi negeri untuk tempoh lima tahun seterusnya.




