SHAH ALAM, 21 NOV: Selangor meluluskan kaedah baharu penternakan ayam yang menetapkan operasi perlu dijalankan dalam kawasan tertutup bagi mengurangkan gangguan lalat dan menjaga keselesaan penduduk setempat.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata, syarat baharu itu turut memastikan aktiviti ternakan ditempatkan di kawasan pertanian yang dibenarkan.
“Kita lihat ayam sebagai protein utama, jadi perlu selari dengan pembangunan setempat supaya elak kacau ganggu (kepada penduduk) terutama lalat.
“Jadi kita ambil jalan tengah, contohnya jika ada (ternak) 500 ekor ayam ke atas mesti mempunyai KM (Kelulusan Kebenaran Merancang),” katanya ketika sesi penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Kelulusan tersebut perlu diperoleh daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kategori ternakan darat ayam, jelas beliau.
Izham menjelaskan pembaharuan ini dilaksanakan secara berperingkat bagi mengelak impak kepada industri, termasuk risiko kenaikan mendadak harga ayam jika syarat terlalu ketat dikenakan tanpa tempoh persediaan.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri menyediakan tempoh peralihan selama tiga tahun untuk memberi ruang kepada semua penternak beralih kepada sistem tertutup sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan.
“Negeri bagi tempoh masa tiga tahun untuk migrasi kepada kaedah tertutup ini. Selepas itu akan teruskan dengan kompaun. Kita pandang serius isu ini,” tegasnya.
Beliau menambah, kaedah penternakan ayam tanpa lalat turut dibuktikan berkesan menerusi sebuah ladang di Sabak Bernam.
“Najis ayam (di situ) disembur dengan mikrob, tapi masalahnya sekarang pengurusan tidak bagus. Sedangkan mikrob tidak mahal pun, tapi mereka tidak mahu ikut.
“Industri ayam sebenarnya boleh dibangunkan dengan baik dan boleh wujud bersama dengan masyarakat. Kita mahu ayam tapi tidak boleh tahan dengan lalat, jadi kita akan buat dengan baik,” katanya.




