ad

Hanya seorang berada dalam kelompok miskin tegar di Selangor

21 Nov 2025, 9:21 AM
Hanya seorang berada dalam kelompok miskin tegar di Selangor

SHAH ALAM, 21 NOV: Hanya seorang individu di Selangor berada dalam kategori miskin tegar setakat semalam, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata individu tersebut sedang menerima pelbagai bentuk bantuan dan sokongan daripada Kerajaan Negeri bagi memastikan mereka dapat keluar daripada status miskin tegar dengan segera.

“Kita ada dua sumber data kemiskinan iaitu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), serta bantuan zakat.

Sebelum ini, kita berjaya menoktahkan miskin tegar dalam tempoh setahun, namun apabila dibuat semakan setiap enam bulan, kita dapati masih wujud semula kes kerana faktor seperti dibuang kerja atau warga emas terlantar,” katanya.

Menurut Amirudin, berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Malaysia, angka terkini daripada ICU menunjukkan Selangor kini hanya mempunyai seorang miskin tegar, berbanding dua individu pada Ogos lalu.

“Walaupun berlaku kejatuhan pendapatan, Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan menyediakan bantuan sokongan supaya mereka tidak terus kekal dalam kategori miskin tegar,” katanya ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata terdapat 1,351 individu berada dalam kelompok miskin tidak produktif yang memerlukan perhatian khusus.

“Mereka ini terdiri daripada warga emas, individu terlantar atau mereka yang kehilangan pekerjaan dan berisiko jatuh ke kategori miskin tegar.”

Bagi mengukuhkan perlindungan sosial, Kerajaan Negeri memperkenalkan BINGKAS Tambahan (BINGKASAN) bernilai RM300 sebulan atau RM3,600 setahun bagi mengelakkan kumpulan tersebut jatuh ke tahap kemiskinan tegar.

“Selangor terus bergerak ke hadapan dalam usaha membasmi kemiskinan,” katanya.

Sebelum ini, melalui Belanjawan Negeri, Amirudin mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk membantu lebih 1,300 ketua isi rumah yang tidak memenuhi syarat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).

Inisiatif khas baharu BINGKASAN akan mula dilaksanakan tahun hadapan.