SHAH ALAM, 21 NOV: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan satu pengumuman yang tular berhubung kewajipan menghadiri kursus haji serta dakwaan kononnya rekod kehadiran akan menjejaskan kelulusan berangkat bagi musim haji akan datang.
Menerusi satu kenyataan, TH menegaskan bahawa maklumat tersebut adalah palsu dan bukan dikeluarkan oleh pihaknya.
“Pengumuman yang tular dalam kalangan bakal haji ini adalah tidak benar dan bukan kenyataan daripada TH. Bakal haji dinasihati agar sentiasa merujuk platform rasmi TH untuk sumber maklumat yang tepat dan dipercayai,” jelas kenyataan itu.
Pada 20 Oktober, TH memaklumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengenakan syarat kesihatan baharu bagi bakal jemaah haji musim 1447H/2026M, selain tidak lagi membenarkan TH membuka pusat rawatan di Tanah Suci.
Antara syarat yang ditetapkan ialah bakal jemaah perlu bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik yang tidak terkawal, serta berupaya melaksanakan ibadat haji secara kendiri.
Jemaah tidak dianggap layak mengerjakan haji sekiranya menghidap penyakit atau keadaan seperti kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung atau penyakit jantung serius, penyakit paru-paru kronik dan penyakit hati kronik.


