SHAH ALAM, 21 NOV: Mayat pekerja lelaki yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma pada Ahad lalu ditemui di kawasan Kampung Sungai Kandis, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata mayat berkenaan ditemukan kira-kira jam 10.30 pagi sebelum proses pengecaman dan tindakan lanjut dijalankan.
Katanya, pihak polis akan mengadakan satu sidang media khas bagi memaklumkan butiran lengkap berhubung penemuan itu.
“Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat,” katanya seperti dilapor BH.
Dalam kejadian Ahad lalu, seorang lelaki yang menjalankan kerja penambahbaikan Sungai Klang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air pada jam 5.40 petang berhampiran Pintasan Saloma.
Seramai 13 pekerja berada di lokasi ketika kejadian berlaku, namun 12 berjaya diselamatkan.
Pekerja itu terdiri daripada tujuh warga Indonesia, empat warga Bangladesh dan seorang warga tempatan.
Kelmarin, kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero milik mangsa dijumpai kira-kira 1.5 kilometer (km) dari lokasi kejadian.




