ad

SAR mangsa dihanyut arus deras di Pintasan Saloma diperluas hingga Shah Alam

18 Nov 2025, 7:43 AM
SAR mangsa dihanyut arus deras di Pintasan Saloma diperluas hingga Shah Alam

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berdepan keadaan sukar dalam usaha mengesan seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma di sini semalam, berikutan paras air meningkat hampir enam meter selepas hujan lebat pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam berkata operasi mencari mangsa berusia 34 tahun itu akan diperluas secara berperingkat mengikut aliran sungai menuju ke Shah Alam, Selangor.

“Kami akan mulakan operasi mencari dari lokasi kejadian dan bergerak sejauh mungkin hari ini, namun ia bergantung kepada paras air semasa,” katanya kepada pemberita di lokasi.

Beliau berkata polis turut mengenal pasti identiti mangsa yang merupakan penyelia bagi projek penambahbaikan sungai di kawasan berkenaan dan cuba mengalih kenderaannya ketika kejadian berlaku.

“Rakaman video yang tular mendapati mangsa sempat keluar dari kenderaannya sejurus kejadian kepala air berlaku dan cuba menyelamatkan diri dengan berpaut pada dinding tebing sungai.

“Bagaimanapun, arus deras menyebabkan mangsa gagal bertahan lalu dihanyutkan,” katanya.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan operasi SAR disambung hari ini selepas ditangguhkan 11 malam tadi.

Operasi itu bermula di kawasan mangsa terakhir dilihat dan diperluas sehingga kawasan Selangor dengan menumpukan kepada pencarian di permukaan air.

Kejadian berlaku pada kira-kira 5.30 petang dan turut melibatkan 11 mangsa lain yang terperangkap di bawah jambatan, namun kesemua mereka berjaya diselamatkan oleh JBPM.