Selangor laksana caj penginapan bermula Januari 2026

21 Nov 2025, 5:37 AM
Selangor laksana caj penginapan bermula Januari 2026
Selangor laksana caj penginapan bermula Januari 2026

SHAH ALAM, 21 NOV: Selangor akan mengenakan caj ke atas semua jenis penginapan termasuk hotel, inap desa dan Airbnb bermula Januari tahun depan bagi menampung kos penyenggaraan serta penambahbaikan infrastruktur negeri.

EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim berkata kutipan dinamakan caj kelestarian itu tidak akan membebankan pelancong, sebaliknya membantu pengusaha mengekalkan fasiliti dan memelihara kelestarian alam sekitar.

“Cukai ini bukan baharu sebaliknya sudah dilaksanakan di beberapa negeri. Pulau Pinang, Melaka, Pahang dan Perak antara yang terawal mengenakan cukai kelestarian atau warisan ini.

“Sudah sampai masanya Selangor mengambil langkah sama untuk pastikan semua pelancong terutama dari luar negara menyumbang kepada negeri ini. Yang pastinya nilai tidak membebankan,” katanya kepada Media Selangor.

Pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini, Suee Lim menjelaskan kadar caj kelestarian itu masih belum dimuktamadkan.

“Setakat ini (caj) belum muktamad. Untuk hotel lima bintang, caj kelestarian ialah RM7, bawah tiga bintang RM5, Airbnb dan rumah inap ialah RM2.

"Caj itu akan dipungut terus oleh pengurusan hotel dan penyedia penginapan, manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab menyelaras proses kutipan," katanya.

EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR)

Sementara itu, Suee Lim turut menjelaskan perbezaan ketara antara data pelawat yang dilaporkan Tourism Selangor (4.14 juta) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (34.5 juta).

“Data yang diperoleh Tourism Selangor adalah daripada Organisasi Pelancongan Dunia (UNWTO), di mana pelancong menginap sekurang kurangnya satu malam, itu baru direkodkan sebagai data pelancong.

“Jika DOSM, rekodnya adalah pelancong harian, datang dan balik, tidak bermalam, kerana itulah direkodkan sehingga 34 juta,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan terus memperkasa usaha menarik lebih ramai pelancong menjelang Tahun Melawat Selangor 2025, dengan sasaran mencapai lapan juta pelawat.