SHAH ALAM, 21 NOV: Pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 2 mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun, kata EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim.
Beliau berkata tempoh itu diperlukan kerana projek berkenaan perlu melalui beberapa peringkat penting termasuk kajian lembangan, pengambilan tanah dan proses perolehan.
“Pelaksanaan RTB ini melibatkan reka bentuk dan kajian mengikut lembangan selama setahun, diikuti proses pengambilan tanah, perolehan serta pengalihan utiliti paip dan kabel. Kerja fizikal pula mungkin mengambil masa dua tahun, manakala pembinaan dua hingga tiga tahun.
“Paling minimum lima tahun untuk siapkan RTB. Sebab itu kita turun ke pihak berkuasa tempatan bersama agensi berkaitan bagi melihat kaedah jangka segera dan sederhana untuk mengurangkan isu banjir,” katanya menjawab soalan tambahan wakil rakyat Paya Jaras Dato’ Dr Ab. Halim Tamuri pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Izham berkata Kerajaan Negeri telah meluluskan RM27 juta bagi langkah segera menangani masalah banjir, yang sebahagiannya sudah dan sedang dilaksanakan sementara menunggu projek RTB dimuktamadkan.
Terdahulu, beliau memaklumkan Kerajaan Persekutuan meluluskan RM44 juta bagi pelaksanaan RTB Sungai Buloh Fasa 2 yang disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.
“Dalam permohonan awal, kita memohon lebih RM854 juta merangkumi sembilan skop kerja termasuk pengalihan utiliti, namun buat masa ini hanya RM44 juta diluluskan.
“Peruntukan RM44 juta ini meliputi skop seperti ukur kejuruteraan, penyediaan pelan pengambilan tanah, kerja ukur halus, penyiasatan tanah, perunding reka bentuk terperinci, penyeliaan serta caj pihak berkuasa tempatan dan utiliti,” katanya.
Sebelum ini, melalui Belanjawan 2026, Perdana Menteri mengumumkan RM2.2 bilion bagi meneruskan 43 projek RTB berkeutamaan tinggi termasuk RTB Sungai Buloh Fasa 2. Antara projek lain ialah RTB Sungai Mengkibol di Kluang, RTB Sungai Chaah di Segamat dan RTB Sungai Temin/Bata di Kubang Pasu.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Izham berkata Kerajaan Negeri sentiasa memantau kawasan berisiko runtuhan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.
“Selain penyediaan peruntukan penambahbaikan, kita juga menggunakan teknologi baharu mengikut kesesuaian keperluan tebing yang runtuh,” katanya.


