Selangor raih RM5.52 bilion pelaburan hasil misi luar negara PM

21 Nov 2025, 4:29 AM
Selangor raih RM5.52 bilion pelaburan hasil misi luar negara PM
Selangor raih RM5.52 bilion pelaburan hasil misi luar negara PM
Selangor raih RM5.52 bilion pelaburan hasil misi luar negara PM

SHAH ALAM, 21 NOV: Sembilan projek pelaburan bernilai RM5.52 bilion, hasil daripada misi perdagangan luar negara yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mula direalisasikan di Selangor sehingga Oktober tahun ini.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata projek-projek ini dijangka mewujudkan 1,300 peluang pekerjaan merentasi sektor utama termasuk elektrik dan elektronik, pembuatan makanan, logistik serta teknologi digital.

“Pelaksanaan aktiviti pelaburan ini membawa manfaat langsung, termasuk penciptaan peluang pekerjaan baharu, pemindahan teknologi dan kemahiran, peningkatan pendapatan dan kualiti hidup, rangsangan pertumbuhan ekonomi setempat dan penambahbaikan infrastruktur,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat mengenai pelaburan asing di Selangor pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Sze Han berkata, sembilan projek tersebut melibatkan syarikat antarabangsa seperti KarbonMRO Services dari Jepun (penyelenggaraan aeroangkasa), Longi Malaysia Sdn Bhd dari China (pembuatan wafer, sel dan modul solar berkecekapan tinggi), Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd dari United Kingdom (pembuatan coklat dan wafer) serta NEXTDC dari Australia (pusat data hyperscale).

Menurut beliau, Anwar mengetuai 33 misi promosi pelaburan ke 23 negara antara 2023 hingga 2025, sekali gus berjaya memperoleh potensi pelaburan berjumlah RM493.58 bilion.

Sehingga Januari 2025, sebanyak RM123.8 bilion pelaburan telah diluluskan di seluruh negara.

“Secara umum, pelaksanaan projek pelaburan yang diluluskan mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk direalisasikan, bergantung kepada skala projek dan keadaan ekonomi.

“Projek direalisasikan merangkumi projek yang telah memulakan operasi, sedang dalam pembinaan atau berada pada peringkat perancangan,” tambahnya.