Kuala Lumpur rekod 8,235 penduduk setiap kilometer persegi

21 Nov 2025, 3:52 AM
Kuala Lumpur rekod 8,235 penduduk setiap kilometer persegi

SHAH ALAM, 21 NOV: Beberapa bandar utama termasuk di Lembah Klang dan Pulau Pinang dikenal pasti mengalami kepadatan penduduk tinggi, dengan Kuala Lumpur merekodkan 8,235 orang bagi setiap kilometer persegi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata bagi memastikan kemudahan pendidikan disediakan dalam pembangunan baharu di kawasan bandar padat, penentuan tapak sekolah akan dibuat berdasarkan ambang populasi.

Menurutnya, pembangunan perumahan yang menjana sekitar 7,500 penduduk memerlukan satu tapak sekolah rendah seluas sekurang-kurangnya 2.4 hektar, manakala pembangunan yang menjana 8,750 penduduk pula memerlukan tapak sekolah menengah seluas minimum 3.2 hektar.

“Tapak kemudahan pendidikan ini turut akan dikenal pasti dan ditandakan dalam Rancangan Tempatan sebagai zon institusi bagi memastikan peruntukan tapak diselaraskan untuk pembangunan sekolah pada masa hadapan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN–Semporna) mengenai saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mewajibkan kemudahan pendidikan bagi projek perumahan berskala besar.

Kor Ming berkata, Malaysia kini mengalami kadar perbandaran pesat, menjadikannya antara negara dengan pertumbuhan penduduk bandar paling ketara di Asia Tenggara. Berdasarkan Rancangan Fizikal Negara Keempat, kadar perbandaran meningkat daripada 71 peratus pada 2010 kepada 75.8 peratus pada 2024 dan dijangka mencecah 80 peratus pada 2030.

“Keadaan ini menyebabkan kesesakan sekolah di bandar setiap tahun, ditambah pula dengan kekurangan tanah yang menyukarkan pembinaan sekolah baharu menggunakan kaedah konvensional yang memerlukan keluasan sehingga 4.8 hektar bagi sekolah menengah,” katanya.

Justeru, beliau berkata konsep sekolah vertikal atau sekolah bertingkat dilihat sebagai penyelesaian mampan bagi menyediakan akses pendidikan di bandar berkepadatan tinggi, selari amalan di negara maju seperti Australia, Singapura, Hong Kong dan Jepun.

Katanya, Garis Panduan Perancangan Sekolah Vertikal di Skim Perumahan Berbilang Tingkat telah dibentangkan dan diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-49 yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 13 Oktober.

“Konsep sekolah vertikal adalah pendekatan inovatif yang mengoptimumkan penggunaan tanah melalui pembangunan sekolah bertingkat inklusif dan mesra komuniti. Garis panduan ini menjadi langkah penting ke arah model pendidikan bandar yang mampan, moden dan holistik selaras aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.