PUTRAJAYA, 2 OKT: Sebanyak 10 daerah muncul sebagai daerah menua baharu iaitu penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencapai tujuh peratus pada 2025, menurut statistik Anggaran Penduduk Semasa, Daerah Pentadbiran 2025 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Daerah berkenaan ialah Seremban (Negeri Sembilan), Jerantut dan Kuantan (Pahang), Kluang dan Pontian (Johor), Alor Gajah (Melaka), Bachok (Kelantan), Seberang Perai Selatan (Penang), Subis (Sarawak), Keningau (Sabah), oleh itu, semua daerah di Utara Malaysia kini diklasifikasikan sebagai daerah menua.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daerah Petaling, Selangor mencatatkan bilangan penduduk tertinggi pada 2025 dengan 2.4 juta, diikuti Johor Bahru, Johor (1.8 juta) dan Hulu Langat, Selangor (1.5 juta).
“Kecil Lojing, Kelantan mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi dengan 3.6 peratus, diikuti Marang, Terengganu (1.6 peratus) dan Kemaman, Terengganu (1.4 peratus). Bukit Mabong, Sarawak merekodkan jumlah penduduk terendah dengan 10,700 orang diikuti Song, Sarawak (10,400) dan Tanjung Manis, Sarawak (7,900).
“Tiga daerah di Kelantan mencatatkan peratusan penduduk muda berumur 0 hingga 14 tahun tertinggi pada 2025 iaitu Gua Musang (32.4 peratus), Kecil Lojing (31.9 peratus) dan Tumpat (31.6 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi kumpulan umur bekerja (15-64 tahun), Sebauh, Sarawak mendahului peratusan dengan 80 peratus, diikuti Belaga, Sarawak (78.8 peratus) dan Kinabatangan, Sabah (78.4 peratus). Lubok Antu, Sarawak pula merekodkan peratusan penduduk umur tua tertinggi iaitu 65 tahun dan lebih dengan 15.7 peratus.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkan tiga kategori penuaan, iaitu masyarakat menua, masyarakat tua dan masyarakat sangat tua dengan masing-masing merujuk kepada penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencecah tujuh peratus, 14 peratus dan 20 peratus.
Sementara itu, penuaan berdasarkan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) pula apabila penduduk berumur 60 tahun dan lebih mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk.
Mohd Uzir berkata Setiu, Terengganu merekodkan komposisi Bumiputera tertinggi dengan 99.8 peratus diikuti Nabawan, Sabah (99.6 peratus) dan Hulu Terengganu, Terengganu (99.4 peratus).
Komposisi Cina tertinggi direkodkan di daerah Timur Laut, Pulau Pinang dengan 63.5 peratus diikuti Sibu, Sarawak (48.0 peratus) dan Kampar, Perak (47.7 peratus).
Bagi India pula, komposisi tertinggi dicatatkan di Bagan Datuk, Perak iaitu 23.1 peratus, diikuti Klang, Selangor (18.6 peratus) dan Port Dickson, Negeri Sembilan (18.2 peratus).
- BERNAMA