AMPANG JAYA, 20 NOV: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menganjurkan Mini Karnival Usahawan MPAJ 2025 sebagai platform memantapkan ekonomi peniaga tempatan.
Timbalan Yang Dipertuanya Ts. Hasrolnizam Shaari berkata bakal berlangsung 4 Disember depan di The Campus, Ampang, ia dianjurkan dengan kerjasama Platform Selangor (PLATS).
“Sebagai penghargaan kepada pemilik lesen premis perniagaan, MPAJ akan memberi anugerah seperti Anugerah Premis Makanan Bersih, Anugerah Kutipan Tertinggi Caj Beg Plastik, Anugerah Usahawan Mikro Trending dan Anugerah pengurusan industri dan pasar malam terbaik.
“Warga Ampang semua dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan program Mini Karnival Usahawan 2025. Ia menjadi platform memantapkan ekonomi usahawan sekitar Ampang,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ hari ini.
Selain itu, menurut Hasrolnizam MPAJ menyediakan 845 petak melibatkan 16 lokasi bagi Lesen Sementara Bazar Ramadan yang akan mula beroperasi pada 19 Februari tahun depan.
Katanya, permohonan bazar ramadan dibuka secara atas talian bermula 14 hingga 25 November manakala sesi pemilhan petak, bayaran dan cetak lesen pula akan dibuka pada 3 hingga 10 Disember depan.
Permohonan boleh dibuat melalui pautan intranet.mpaj.gov.my/penjaja atau hubungi Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan di talian 03 4285 7344/ 7170 untuk sebarang maklumat lanjut.



