SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri bakal merumuskan Inisiatif Iltizam Emas Selangor tahun hadapan bagi memperkasa kesejahteraan dan meningkatkan produktiviti warga emas di negeri ini.
EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari berkata inisiatif itu merangkumi program Rakan Penjaga Selangor serta penubuhan Hab Penjagaan Rehat dan Kesejahteraan.

“Perkara ini perlu diteliti secara menyeluruh supaya panduan, insentif, platform dan latihan yang disediakan mampu memastikan warga emas terus produktif dan mandiri,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Menurut Anfaal, Kajian Emas Selangor mendapati tahap kesedaran warga emas mengenai program sedia ada masih rendah disebabkan tahap celik digital dan akses kepada teknologi.
“Keadaan ini menuntut pendekatan lebih peribadi bagi memastikan maklumat dan perkhidmatan sampai tepat kepada golongan sasar,” jelasnya.
Beliau menambah kajian itu turut menunjukkan keperluan berbeza mengikut gender dengan warga emas wanita lebih memerlukan kaunseling kewangan dan sokongan psikososial bagi menangani isu emosi, kesejahteraan, dan pengurusan kehidupan harian.
“Sebaliknya, warga emas lelaki cenderung memerlukan akses kepada program pendidikan, latihan kemahiran, dan bantuan mencari pekerjaan bagi menyokong kelangsungan ekonomi serta produktiviti mereka,” katanya.






