ad

Mangsa tembak di Sendayan miliki 42 rekod jenayah

20 Nov 2025, 7:19 AM
Mangsa tembak di Sendayan miliki 42 rekod jenayah

SHAH ALAM, 20 NOV: Lelaki yang maut ditembak dalam kejadian di Nusari Biz, Sendayan, Seremban malam tadi didapati mempunyai 42 rekod jenayah pelbagai kesalahan.

Dalam insiden sekitar jam 11 malam itu, mangsa berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kesan tembakan dan tetakan pada badan selepas dipercayai diserang sekumpulan lelaki.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada jam 11.23 malam memaklumkan berlakunya insiden tembakan serta serangan menggunakan senjata tajam.

“Siasatan awal mendapati kejadian membabitkan pembunuhan seorang lelaki warga tempatan. Semakan lanjut pula mendapati mangsa mempunyai 42 rekod jenayah membabitkan pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, sebelum kejadian mangsa dikatakan ke sebuah restoran berhampiran bersama keluarga untuk makan malam.

“Ketika mangsa menuju ke kenderaan, beberapa kereta yang dinaiki enam suspek bertutup muka dikatakan menghalang laluan. Suspek yang disyaki bersenjatakan pistol dan parang keluar serta menyerang mangsa.

“Mangsa cuba melarikan diri ke arah jalan raya namun suspek terus mengejarnya sebelum melepaskan tembakan diikuti serangan menggunakan parang, menyebabkan mangsa cedera parah. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa turut menemui kesan tetakan dan tembakan.

Menurutnya, pasukan penyiasat terdiri daripada pegawai penyiasat, Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) digerakkan ke lokasi bagi mengumpul bukti fizikal dan bahan berkaitan.

“Bedah siasat dijalankan di Bahagian Perubatan Forensik Hospital Rembau hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Alzafny berkata polis kini giat memburu semua suspek serta mengesan kenderaan yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.

“Motif kejadian dan identiti kesemua suspek masih dalam siasatan. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline Ibu Pejabat Daerah Seremban di talian 06-6032222,” katanya.