MBDK laksana operasi kawalan gagak demi kebersihan Bandar Klang

17 Mei 2026, 7:23 AM
MBDK laksana operasi kawalan gagak demi kebersihan Bandar Klang
MBDK laksana operasi kawalan gagak demi kebersihan Bandar Klang

SHAH ALAM, 17 MEI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) melupuskan sebanyak 2,880 ekor gagak menerusi Operasi Menembak Gagak Siri 1/2026 yang dijalankan di sekitar kawasan Klang semalam.

Operasi bermula seawal jam 7 pagi hingga 7 malam itu dijalankan serentak bersama beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor bagi mengawal populasi gagak yang semakin meningkat di kawasan bandar.

MBDK memaklumkan kehadiran burung gagak yang tidak terkawal boleh menyebabkan pelbagai gangguan termasuk pencemaran persekitaran, bunyi bising, kerosakan harta benda serta menjejaskan tahap kebersihan dan kesihatan awam.

“Operasi bersepadu ini turut bertujuan memastikan kawasan tumpuan awam, kawasan perniagaan, pasar awam, taman rekreasi dan kawasan perumahan berada dalam keadaan lebih bersih, selesa dan selamat,” menurut MBDK di Facebook hari ini.

Tambah MBDK, operasi itu mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang menjalankan pemeriksaan senjata api, dokumentasi penembak serta pemantauan keselamatan sepanjang operasi berlangsung.

Seramai 28 penembak berdaftar dan memiliki lesen sah daripada polis terlibat dalam operasi berkenaan.

Sebagai galakan kepada penembak serta menyokong usaha kawalan populasi gagak secara berterusan, MBDK turut membayar RM16,740 sebagai bayaran bounti berdasarkan jumlah tangkapan direkodkan.

MBDK berkata pihaknya akan terus melaksanakan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan demi memastikan persekitaran bandar lebih bersih dan kondusif untuk masyarakat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.