ad

MPAJ susun garis panduan aktiviti sekitar Geotaman Gombak Hulu Langat

20 Nov 2025, 6:25 AM
MPAJ susun garis panduan aktiviti sekitar Geotaman Gombak Hulu Langat
MPAJ susun garis panduan aktiviti sekitar Geotaman Gombak Hulu Langat
MPAJ susun garis panduan aktiviti sekitar Geotaman Gombak Hulu Langat

AMPANG JAYA, 20 NOV: Draf awal garis panduan pengurusan kawasan persekitaran Geotaman Gombak Hulu Langat (GHL) sedang disediakan bagi menentukan aktiviti dibenarkan dalam zon geotaman, sekaligus memastikan pengurusan kawasan lebih teratur dan mampan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ts. Hasrolnizam Shaari berkata garis panduan ini penting untuk memperkukuh pengurusan geotaman serta menyokong usaha meningkatkan kelestarian dan ekopelancongan Selangor.

Menurut beliau, garis panduan komprehensif itu merangkumi aktiviti yang dibenarkan termasuk aktiviti manusia di pesisir sungai dan rekreasi berimpak rendah, bagi menjamin pemuliharaan kawasan sensitif, keselamatan pengunjung dan kelestarian ekosistem jangka panjang.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ts Hasrolbizam Shaari ketika mesyuarat penuh MPAJ di Menara MPAJ pada 20 November 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Kawasan sekitar Kemensah, Melawati dan Klang Gate berada dalam Geotaman GHL. Kejayaan geopark bukan hanya bergantung kepada alam sekitar seperti bukit dan kehijauan, tetapi juga interaksi manusia dan aktiviti.

”Oleh itu, semua aktiviti di kawasan ini perlu diteliti dan diuruskan dengan baik,” katanya selepas mesyuarat penuh pihak berkuasa tempatan hari ini.

Hasrolnizam memaklumkan beberapa aktiviti di kawasan berkaitan semakin rancak termasuk pembukaan premis makanan dan aktiviti rekreasi.

Menurutnya, sebahagian besar dasar pembangunan sudah tersedia, namun garis panduan khusus bagi aktiviti berhampiran sungai masih dalam penyediaan.

“Aktiviti di kawasan berhampiran sungai seperti Kemensah dan Klang Gate termasuk kafe, ATV, paintball, perkhemahan serta jualan kraf tangan sedang diinventori.

"Kerajaan Negeri maklum akan perkara ini dan telah memberi kebenaran serta peruntukan melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Kerja pengukuran kawasan telah dimulakan, dan seterusnya, Jabatan Perancang Bandar MPAJ, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan akan merangka kumpulan kerja bersama agensi berkaitan,” katanya.

Beliau turut memberitahu MPAJ menyasarkan draf awal dapat disiapkan pada pertengahan 2026.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di iringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berangkat pulang dari Majlis pengisytiharan Gombak-Hulu Langat Geopark sebagai Geopark Kebangsaan pertama Negeri Selangor di Taman Ekstrem Gua Damai Gombak pada 16 November 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Tahun lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, sempena Karnival Gua Damai mengisytiharkan Geotaman GHL sebagai geotaman kebangsaan pertama di Selangor, sekali gus menjadikannya geopark ketujuh di Malaysia.

Merangkumi kawasan seluas 112,955 hektar di daerah Gombak dan Hulu Langat, Geotaman GHL menampilkan 31 geotapak dengan 20 daripadanya diiktiraf sebagai kawasan eko dan geo pelancongan, berikutan keunikan geologi serta keaslian landskapnya.