SHAH ALAM, 20 NOV: Selepas hampir 40 tahun berdiri megah sebagai mercu tanda Shah Alam, Plaza Perangsang bakal ditransformasi sebagai destinasi perniagaan dan rekreasi yang menempatkan pelbagai komponen serba moden.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata transformasi Plaza Perangsang merupakan sebahagian daripada misi strategik PKNS di bawah inisiatif projek SA Sentral.
Menurut Dato' Mahmud Abbas transformasi tersebut juga bertujuan memperkukuh kedudukan Shah Alam sebagai sebuah bandar moden, dinamik dan berdaya saing.
"Dibina pada 1988, Plaza Perangsang setinggi 27 tingkat menjadi mercu tanda pentadbiran dan komersial di Shah Alam. Kini di bawah pelan pengoptimuman aset PKNS, bangunan ini diposisikan semula daripada sebuah menara pejabat konvensional kepada destinasi perniagaan dan rekreasi bersepadu.

"Naik taraf ini termasuk menempatkan pelbagai komponen seperti hotel, ruang pejabat moden, ruang kerja berkonsep fleksibel, lebih daripada 600 lot parkir bertingkat serta rangkaian kafe dan restoran.
"Usaha ini juga melambangkan komitmen PKNS untuk memperkukuh sektor hospitaliti Selangor selaras dengan kehadiran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Pembentangan “Pratonton Istimewa Grand Mercure Shah Alam oleh PKNS” di Galeria SA Sentral, Seksyen 14 di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (Designate) SA Sentral Datuk Mohd Najib Ibrahim berkata Hotel Grand Mercure Shah Alam berkonsepkan ‘modern heritage’ dijangka dibuka secara rasmi pada suku kedua 2026 dan berada di aras 18 hingga 26B Plaza Perangsang.
Jelasnya, usaha memposisikan semula Plaza Perangsang sebagai Hotel Grand Mercure Shah Alam adalah hasil kerjasama strategik antara DPMS Hospitality Sdn Bhd dan Accor iaitu kumpulan hospitaliti terkemuka dunia.

"Kehadiran Hotel Grand Mercure sebagai komponen utama transformasi Plaza Perangsang membawa nilai tambah melalui penawaran bilik moden, restoran, ruang acara dan fasiliti premium bertaraf antarabangsa.
"Hotel ini bukan sahaja meningkatkan profil Plaza Perangsang, malah turut mengukuhkan ekosistem ekonomi Shah Alam sebagai destinasi pilihan pelancong, perniagaan dan persidangan," katanya.
Hotel tersebut bakal menawarkan 156 bilik penginapan premium serta pelbagai kemudahan bertaraf antarabangsa termasuk restoran, spa, kolam renang, pusat kecergasan, bilik mesyuarat, dewan bankuet dan ruang khas untuk kanak-kanak.






