ad

Lebih RM23 juta diperuntuk bagi program pembasmian kemiskinan tahun depan

19 Nov 2025, 12:03 PM
Lebih RM23 juta diperuntuk bagi program pembasmian kemiskinan tahun depan
Lebih RM23 juta diperuntuk bagi program pembasmian kemiskinan tahun depan

SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM23.48 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan pada 2026 dengan fokus meningkatkan kesejahteraan isi rumah B40 serta komuniti Orang Asli.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Pappairaidu berkata jumlah itu merangkumi RM18.48 juta untuk Program Baucar Jom Shopping meliputi sambutan perayaan utama termasuk tambahan RM2 juta bagi memperluas manfaat kepada keluarga B40 dan miskin tegar.

“Tumpuan kita bukan hanya kepada bantuan tunai, tetapi menyediakan intervensi yang benar-benar membantu keluarga keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya pada sidang media di persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu menjawab soalan ketika Persidangan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 19 November 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, RM2 juta turut disediakan untuk Program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan manakala RM1 juta diperuntukkan kepada Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED) bagi mengukuhkan kapasiti usahawan kaum terbabit.

Dalam masa sama, Kerajaan Negeri menyalurkan RM3 juta di bawah Program Baik Pulih dan Bina Baru Rumah bagi memastikan komuniti miskin dan Orang Asli menerima kediaman yang lebih selamat dan selesa.