SHAH ALAM, 19 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong mencadangkan Kerajaan Negeri menggubal satu garis panduan khas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyediakan kemudahan lebih mesra dan selesa untuk kanak-kanak autisme.
Ong Chun Wei berkata cadangan itu berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor yang menunjukkan terdapat 17,794 individu autisme, merangkumi 32.5 peratus daripada keseluruhan golongan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.
“Angka ini bukan kecil, dan ia menuntut perhatian serius kita dalam merangka dasar yang benar-benar inklusif. Banyak kemudahan hari ini tidak mengambil kira keperluan mereka.
“Maka Balakong mengesyorkan supaya negeri menggubal satu set garis panduan ‘Special Needs-Friendly Public Spaces’ untuk dijadikan rujukan oleh PBT serta pengendali-pengendali kemudahan awam lalu menjadikan Selangor benar-benar inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.
Selain garis panduan, Chun Wei turut mengesyorkan Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan khusus bagi menambah baik atau mewujudkan bilik pendidikan khas di sekolah tertentu.
Beliau berkata walaupun pendidikan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Selangor tetap boleh memainkan peranan untuk menutup jurang keperluan pendidikan anak-anak autisme.
“Selangor sebagai negeri maju harus meneraju dengan dasar yang bukan sahaja memperkasa golongan istimewa, tetapi juga mengangkat maruah mereka sebagai sebahagian daripada komuniti kita,” katanya.





