ad

Dakwaan pelaut Melayu ajar Rom bina kapal, UIAM laksana siasatan dalaman

19 Nov 2025, 2:16 AM
Dakwaan pelaut Melayu ajar Rom bina kapal, UIAM laksana siasatan dalaman

SHAH ALAM, 19 NOV: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menubuhkan satu panel siasatan dalaman bagi meneliti ujaran dibuat Prof Dr Solehah Yaacob berhubung pembinaan kapal dalam tamadun Rom.

Menurut UIAM, panel tiga ahli itu dipengerusikan Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan) Prof Datuk Dr Ahmad Faris Ismail, dan ditubuhkan bagi memastikan semakan menyeluruh serta bebas selaras dengan terma rujukan universiti berkaitan integriti akademik.

Panel tersebut turut dianggotai sejarawan terkenal, Prof Dr Zaid Ahmad dari Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan serta Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Prof Dr Hazizan Noon.

“Inkuiri ini akan dijalankan selaras peraturan universiti dan memastikan proses penilaian dibuat secara teliti, bebas dan berpandukan terma rujukan yang ditetapkan bagi kes melibatkan integriti akademik.

“Dapatan dan syor panel akan dikemukakan kepada pihak berkuasa tatatertib untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya, jika perlu,” menurut kenyataan universiti itu seperti dilapor BH.

Terdahulu, Solehah dalam sebuah video kuliah di YouTube mendakwa bahawa teknik pembinaan kapal tamadun Rom zaman dahulu dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu.

Beliau mendakwa hipotesis tersebut bersandarkan sumber-sumber pembacaan Arab klasik.

Pada masa sama, UIAM menegaskan pihaknya komited memastikan setiap proses siasatan dijalankan dengan penuh berintegriti demi memelihara reputasi, kredibiliti dan amanah akademik universiti.