GOMBAK, 25 MEI: Ibadah korban sempena Aidiladha tidak sepatutnya dijadikan simbol status atau bahan tontonan media sosial sehingga menghilangkan makna sebenar pengorbanan dalam Islam.
Pensyarah Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Baihaqi Md Yusnan berkata trend semasa menunjukkan ada segelintir masyarakat lebih mengejar perhatian dan pengiktirafan ketika melaksanakan ibadah korban berbanding menghayati nilai keikhlasan yang dituntut agama.
Katanya, amalan korban sepatutnya menjadi medan mendidik jiwa supaya lebih ikhlas, prihatin dan sanggup berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.
“Korban sebenarnya melatih kita membuang sifat bakhil, kedekut dan pentingkan diri selain mendidik jiwa agar lebih prihatin terhadap orang lain.
“Jangan sampai ibadah yang dilakukan menjadi sia-sia hanya kerana mahu dilihat, dipuji atau dibandingkan dengan orang lain,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di UIAM, baru-baru ini.
Menurut Mohammad Baihaqi, budaya berkongsi pelaksanaan korban secara berlebihan di media sosial dikhuatiri boleh mengubah fokus sebenar ibadah itu jika tidak disertai niat yang betul.
Beliau berkata umat Islam perlu sentiasa menjaga keikhlasan dalam setiap ibadah supaya amalan dilakukan benar-benar kerana Allah SWT dan bukannya untuk mendapatkan perhatian masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan institusi pendidikan dan golongan akademik memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman tepat kepada masyarakat mengenai hikmah sebenar ibadah korban.







