SHAH ALAM, 18 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) meramalkan kemungkinan berlakunya banjir di beberapa jajahan di Kelantan dan daerah di Terengganu bermula esok.
Dalam kenyataan di Facebook, JPS memaklumkan ramalan itu susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Berdasarkan infografik Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), kawasan berisiko dikenal pasti mengikut lembangan sungai utama di dua negeri berkenaan.
Di Kelantan, ramalan banjir melibatkan jajahan:
Kuala Krai
Jeli
Bachok
Machang
Pasir Puteh
Tumpat
Pasir Mas
Kota Bharu
Tanah Merah
Di Terengganu, ramalan banjir melibatkan jajahan:
Besut
Setiu
Kuala Nerus
Kuala Terengganu
Hulu Terengganu
Marang
JPS memaklumkan pihaknya akan meneruskan pemantauan dan mengemas kini hebahan sekiranya hujan signifikan berterusan di lembangan sungai terbabit.
Agensi pengurusan bencana serta penduduk di kawasan berisiko diminta bersedia, berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui portal infobanjir: http://publicinfobanjir.water.gov.my


