SHAH ALAM, 18 NOV: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) masih menjadi peneraju utama pengurusan sisa pepejal Selangor meskipun Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bakal mengubah struktur pengurusan di peringkat nasional.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata kepentingan negeri sentiasa menjadi keutamaan dalam rundingan dasar baharu termasuk penyeragaman sistem di bawah seliaan SWCorp.

“Sebagai syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, KDEBWM akan terus diberi pertimbangan sewajarnya. Walaupun Akta 672 memperluas peranan SWCorp, KDEBWM masih mempunyai keupayaan dan daya saing untuk mengekalkan peranan utama,” katanya.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Menurut Suee Lim, pengalaman KDEBWM dalam operasi, logistik dan teknologi hijau memberi kelebihan untuk mendapatkan kontrak perkhidmatan baharu di bawah model baharu kelak.
“Rekod KDEBWM dalam pembersihan awam menjadi asas penting untuk kekal kompetitif.
“Kerajaan Negeri komited memastikan syarikat ini terus memainkan peranan utama sama ada melalui kerjasama strategik atau pelantikan berasaskan merit,” katanya.
Pada Februari lalu, Selangor dan Pulau Pinang diumumkan sebagai negeri terbaharu menerima pakai Akta 672, menjadikan Selangor negeri kelapan melaksanakannya selepas Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pelaksanaan Akta 672 bertujuan menyeragam undang-undang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, selain meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta merancakkan ekonomi kitaran negara.







