SHAH ALAM, 14 DIS: Kerajaan Negeri menyasarkan pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) pada suku ketiga tahun depan, sekali gus membolehkan penguatkuasaan lebih tegas terhadap kes pembuangan sampah.
EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata kelemahan undang-undang sedia ada antara faktor yang mendorong berlakunya pembuangan sampah secara terbuka, termasuk melibatkan pembuangan berskala besar.
"Ketika ini denda pembuangan sampah di Selangor maksimum RM1,000. Kalau kita banding dengan Akta 672, denda boleh sampai RM100,000 dan penjara lima tahun," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, sehingga akta berkenaan dikuatkuasakan, penguatkuasaan di peringkat negeri masih terikat dengan denda maksimum RM1,000.
Dalam masa sama, Suee Lim berkata cadangan hukuman khidmat masyarakat sedang diteliti dan akan diselaraskan dengan cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Kalau Akta 672 berjaya dilaksanakan, kita boleh denda pesalah atau minta mereka menjalankan hukuman iaitu memakai baju tertentu dengan warna tertentu dan menjalankan khidmat masyarakat dalam tempoh masa ditetapkan," katanya.
Beliau yakin pendekatan berkenaan mampu memberi pengajaran kepada pesalah serta mengurangkan kes pembuangan sampah di Selangor.
Suee Lim turut menegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan secara berkala, bukan hanya bertindak berdasarkan aduan awam.
"Penguatkuasaan bukan hanya dibuat selepas menerima aduan. Jika pesalah dicekup, tindakan sewajarnya akan dikenakan," katanya.
Menurut beliau, langkah itu turut diambil susulan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menzahirkan ketegasan terhadap isu sampah dan kebersihan awam di negeri ini.
"Saya menjunjung kasih dan mengambil maklum atas teguran Tuanku. Sehubungan itu, satu mesyuarat khas akan diadakan esok bagi merangka tindakan segera yang proaktif, melibatkan langkah jangka pendek dan jangka panjang," katanya.
Beliau berkata mesyuarat tersebut akan dipengerusikan olehnya sendiri bersama wakil PBT, KDEB Waste Management serta unit berkaitan.
Dalam pada itu, Suee Lim mengakui masih terdapat kelemahan dalam sistem pengurusan sampah di Selangor berikutan beberapa cabaran.
"Antara cabaran utama ialah Selangor negeri yang rencam seperti kawasan Klang, dengan banyak kawasan perindustrian serta kebanjiran warga asing.
"Warga asing ini tidak menjaga kebersihan dan tidak menggunakan kemudahan tong sampah yang disediakan dengan betul," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan berusaha menangani cabaran berkenaan termasuk melalui penambahan peruntukan serta penambahbaikan jadual pembersihan.
Beliau turut menyeru kerjasama semua pihak bagi memastikan kebersihan persekitaran terus terpelihara.
"Usaha daripada satu pihak sahaja tidak mencukupi. Kebersihan perlu dijaga bersama supaya Selangor kekal bersih, berdaya huni dan mesra alam," katanya.




