SHAH ALAM, 17 NOV: Selangor FC (SFC) akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyemak semula hukuman yang dikenakan ke atas kelab itu, dengan menekankan keperluan proses siasatan yang lebih telus.
EXCO Belia dan Sukan, Mohd Najwan Halimi berkata pengurusan SFC telah dirujuk dan bersetuju membawa perkara tersebut ke FAM.
“Rayuan akan dibuat oleh pihak pengurusan dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di bangunan pentadbiran negeri hari ini.
Najwan turut menggesa pengurusan kelab meneliti semula hukuman berkenaan sekiranya terdapat dakwaan yang tidak tepat.
“Jika ada dakwaan kurang tepat, ia wajar dibantah. Kita berharap FAM dapat membuat pertimbangan semula,” katanya.
Beliau berpendapat hukuman yang dikenakan ketika ini agak keras dan keterlaluan.
Selangor FC sebelum ini dikenakan denda RM100,000 dan diarahkan beraksi tanpa penonton bagi dua perlawanan Piala FA susulan lima pertuduhan berkaitan insiden semasa perlawanan menentang Negeri Sembilan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 29 Oktober lalu.
Pertuduhan melibatkan dakwaan pembakaran mercun, kerosakan dan pelontaran bangku serta botol air, provokasi antara penyokong, dan kegagalan mematuhi obligasi keselamatan sebelum, semasa dan selepas perlawanan.
Dalam masa sama, Najwan menasihatkan penyokong supaya berdisiplin serta tidak bertindak mengikut emosi ketika menyaksikan perlawanan.
“Kalau penyokong buat hal, kelab yang menerima padah. Jadi perlu sentiasa beringat dan menjaga adab supaya perjalanan perlawanan berlangsung dengan selamat,” katanya.




