SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor FC dijatuhi hukuman bermain tanpa penonton berikutan insiden tidak diingini yang melibatkan penyokong pada aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, pada 29 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Baljit Singh Sidhu berkata skuad Gergasi Merah akan beraksi di stadium kosong pada separuh akhir kedua menentang Sabah FC pada 30 November ini, termasuk perlawanan sulung mereka di gelanggang sendiri bagi musim berikutnya.
“Selangor FC juga didenda sebanyak RM100,000 kerana kesalahan berulang mengikut Artikel 42, Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM. Amaran keras turut diberikan, dan hukuman lebih berat akan dikenakan sekiranya kesalahan sama berulang. Keputusan ini boleh dirayu,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.
Menurut Baljit, Selangor FC didapati melanggar beberapa artikel Kod Tatatertib FAM, termasuk Artikel 68 dan 70, berhubung insiden yang berlaku ketika perlawanan suku akhir kedua. Antara pertuduhan adalah:
Pembakaran mercun: Dua letupan mercun telah dibaling ke arah tempat duduk penyokong lawan
Kerosakan dan provokasi: Beberapa bangku rosak dan botol air dilontarkan, mengakibatkan kecederaan kepada dua penyokong Negeri Sembilan
VVIP terlibat: Seorang VVIP dari pihak Selangor FC membaling bekas minuman plastik berisi air ke arah keluarga pemain pasukan lawan
Provokasi penyokong: Tindakan sesetengah penyokong mencetuskan kekecohan di antara kedua-dua pihak.
Kegagalan mematuhi obligasi keselamatan perlawanan: Antaranya memastikan undang-undang keselamatan dipatuhi dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan secara aktif.
Hukuman ini bertujuan menegaskan kepentingan keselamatan penyokong serta memastikan setiap perlawanan berlangsung dalam suasana terkawal dan selamat, selaras dengan standard keselamatan FAM dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).




