ad

30 warga asing dicekup, cuba masuk negara ini melalui pantai Sabak Bernam

16 Nov 2025, 2:36 PM
30 warga asing dicekup, cuba masuk negara ini melalui pantai Sabak Bernam

SHAH ALAM, 16 NOV: Polis menahan 30 warga asing termasuk sembilan wanita yang dipercayai cuba memasuki negara melalui kawasan pesisiran pantai di Sabak Bernam dalam operasi tengah malam semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kejadian berlaku sekitar 12.15 tengah malam apabila anggota polis mengesan sebuah bot kayu pom-pom tanpa nombor pendaftaran bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.

“Bot tersebut berjaya dipintas di kawasan pesisiran Pantai Sungai Pulai sebelum tekong diarahkan berhenti. Hasil tindakan pantas dan bersepadu, polis berjaya menahan 30 warga asing termasuk sembilan wanita berusia 21 hingga 49 tahun.

“Turut dirampas ialah dua telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan migran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shazeli, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Beliau menegaskan polis Selangor akan terus memperkukuh kawalan perairan serta memantau aktiviti penyeludupan bagi mengekang kemasukan migran secara tidak sah.