KUALA LUMPUR, 16 NOV: Dua lelaki akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok berhubung pembunuhan seorang jurujual wanita yang ditemukan mati dengan tangan terikat di Blue Water Estate, Seri Kembangan pada 29 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Selangor dan arahan diterima untuk menuduh dua suspek, lapor Berita Harian.
“Dua lelaki tempatan berusia 20-an akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34. Pertuduhan dijadualkan jam 8 pagi esok,” katanya.
Sebelum ini, polis menahan lima individu termasuk bekas teman lelaki mangsa, abang angkat dan rakan serumah bagi membantu siasatan.
Mangsa berusia 24 tahun, bekerja sebagai jurujual di Ampang dan Bukit Bintang, ditemukan orang awam pada 3.45 petang selepas terhidu bau mencurigakan. Wanita itu ditemui dalam keadaan bogel dengan tangan terikat berhampiran bulatan Blue Water Estate.
Beberapa barangan peribadi milik mangsa dan suspek dirampas bagi membantu siasatan termasuk telefon bimbit dan pakaian. Pemeriksaan forensik turut dilakukan di lokasi kejadian bagi mengumpul bukti sebelum kertas siasatan dilengkapkan.
Daripada lima yang ditahan, tiga termasuk bekas teman lelaki mangsa telah dibebaskan selepas disahkan tidak mempunyai kaitan langsung dengan pembunuhan tersebut. Polis tidak menolak kemungkinan terdapat suspek lain dan siasatan masih diteruskan.




