ad

Warga emas rentung dalam kebakaran rumah

16 Nov 2025, 9:15 AM
Warga emas rentung dalam kebakaran rumah

SIBU, 16 NOV: Lelaki warga emas ditemukan rentung dalam bilik tidur sebuah rumah yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Minah, Sarikei, dekat sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei Arrahman Chik berkata Teng King Kai, 97, iaitu pemilik rumah ditemukan di bawah timbunan sisa kebakaran pada 2.18 pagi.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan kejadian pada 12.33 tengah malam dan operasi melibatkan 16 anggota BBP Sarikei dan BBP Bintangor.

“Kediaman dihuni enam individu namun hanya lima berada di rumah semasa kejadian, dengan empat daripadanya berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arrahman berkata mereka yang selamat ialah anak lelaki mangsa berusia 72 tahun, wanita 49 dan 51 tahun serta kanak-kanak perempuan 12 tahun.

Kebakaran juga memusnahkan sebuah stor penyimpanan barang serta Perodua Aruz dan Toyota Unser.

Beliau berkata bomba berdepan cabaran tekanan air rendah dan kurang pencahayaan serta risiko kebakaran daripada longgokan peralatan elektrik untuk memadamkan kebakaran, dan operasi ditamatkan pada 4.55 pagi.

- BERNAMA