SHAH ALAM, 16 NOV: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wakil pertama Malaysia menjuarai Masters Kumamoto di Jepun, sekali gus meraih gelaran ketiga dalam siri Jelajah Dunia BWF musim ini.
Dalam aksi final di Gimnasium Wilayah Kumamoto, pasangan nombor dua dunia itu mempamerkan kebangkitan menakjubkan untuk menundukkan gandingan tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi yang berada di ranking ketujuh dunia, dengan keputusan 22-20, 21-19.
Kemenangan tersebut mengulangi skrip kejayaan mereka di final Terbuka Artik di Finland bulan lalu dan meluaskan rekod cemerlang ke atas pasangan Jepun itu kepada 6-2, lapor Berita Harian.
Pearly-Thinaah bermula perlahan pada set pertama apabila ketinggalan 0-7 dan 15-20, namun bangkit mengutip tujuh mata berturut-turut bagi mengesahkan kemenangan 22-20. Set kedua turut menyaksikan mereka berada di belakang sebelum menunjukkan disiplin permainan lebih kemas untuk menang 21-19 dalam tempoh 54 minit.
Kejayaan di Kumamoto menobatkan mereka sebagai juara Malaysia pertama dalam kejohanan yang diperkenalkan pada 2023, mengatasi pencapaian terbaik sebelum ini oleh perseorangan lelaki Leong Jun Hao yang muncul naib juara tahun lalu.
Dengan gelaran itu, Pearly-Thinaah mengumpul kejuaraan ketiga siri BWF selepas menjuarai Terbuka Thailand dan Terbuka Artik, serta membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM155,071), manakala pasukan tuan rumah menerima AS$18,050 (RM74,591) selaku naib juara.







