ad

Pejabat MB: Dakwaan terhadap pegawai berniat jahat, laporan akan dibuat

16 Nov 2025, 7:03 AM
Pejabat MB: Dakwaan terhadap pegawai berniat jahat, laporan akan dibuat

SHAH ALAM, 16 NOV: Pejabat Dato' Menteri Besar Selangor menegaskan dakwaan terhadap seorang pegawainya sebagai tidak berasas, bermotif politik dan berniat jahat.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan hari ini, tuduhan itu disebarkan menerusi satu kumpulan WhatsApp baharu ketika Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari sedang membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, Jumaat lalu.

"Dakwaan liar yang dibuat jelas ... berunsurkan fitnah, menyeleweng dan tidak berfakta ataupun mempunyai sebarang asas," kata kenyataan itu .

Media sebelum ini melaporkan kewujudan sebuah kumpulan WhatsApp yang menuduh seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar sebagai 'menjadi jutawan', memiliki banglo bernilai RM3 juta dan membawa keluarga bercuti mewah ke luar negara sejak Amirudin memegang jawatan.

Sebagai respon, Pejabat Menteri Besar menyatakan pegawai berkenaan akan membuat laporan kepada pihak berkuasa sebagai langkah kebertanggungjawaban.

"Laporan kepada pihak berkuasa berkenaan fitnah ini akan dibuat oleh pegawai terbabit sebagai elemen kebertanggungjawaban untuk kita sama-sama memperbetulkan fokus kepada agenda membangunkan negeri dan mengangkat martabat rakyat, bukan dengan politik tidak matang melalui pembinaan persepsi jahat, liar dan palsu," tambah kenyataan itu lagi.