ad

Pameran Minggu Setem hidupkan semula warisan negara, raih sambutan luar biasa

16 Nov 2025, 1:04 AM
Pameran Minggu Setem hidupkan semula warisan negara, raih sambutan luar biasa
Pameran Minggu Setem hidupkan semula warisan negara, raih sambutan luar biasa
Pameran Minggu Setem hidupkan semula warisan negara, raih sambutan luar biasa
Pameran Minggu Setem hidupkan semula warisan negara, raih sambutan luar biasa

SHAH ALAM, 16 NOV: Minggu Setem tahun ini menjadi platform penting untuk menghidupkan kembali warisan negara selain berjaya menarik minat generasi muda terhadap dunia filateli, setem dan seni tempatan.

Guru, Nor Huda Othman, berkata pameran berkenaan membuka peluang kepada masyarakat khususnya pelajar untuk mengenali lebih dekat keunikan setem negara.

Guru,Nor Huda Othman di pameran Minggu Setem 2025. Foto Ahmad Zakki Jilan/Media Selangor

“Program sebegini dapat menarik minat murid-murid dan orang ramai untuk mengenali Pos Malaysia dengan lebih mendalam.

“Sebelum ini mereka hanya terdedah kepada media massa, jadi melalui pameran ini mereka dapat melihat sendiri rupa bentuk setem yang sebenar,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Sementara itu, guru Azlina Lajim berkata pameran tersebut turut menjadi usaha bermakna untuk mengimbau karya animasi tempatan yang pernah menjadi kegemaran rakyat.

Guru, Azlina Lajim di pameran Minggu Setem 2025. Foto Ahmad Zakki Jilan/Media Selangor

“Pelajar masa kini mungkin tidak berpeluang menonton animasi atau kartun yang dijadikan siri setem ini. Itu yang menjadikannya istimewa, seolah-olah memberi peluang untuk mengimbau kembali.

“Setem memang sinonim dengan sejarah dan tema dipilih tahun ini sangat menarik. Kita juga lihat sambutan yang amat menggalakkan sejak hari pertama,” katanya.

Bagi pelajar, Iskandar Mirza Zaidi, penganjuran Minggu Setem membawa nilai tersendiri dalam memelihara budaya dan mengenang jasa generasi terdahulu.

Pelajar, Iskandar Mirza Zaidi di pameran Minggu Setem 2025. Foto Ahmad Zakki Jilan/Media Selangor

“Saya rasa impak paling besar ialah budaya dapat dikekalkan. Kita dapat kembali mengenang generasi sebelum kita dan menghargai apa yang mereka usahakan.

“Saya harap program ini diteruskan kerana ia membantu murid generasi seperti saya memupuk rasa cinta terhadap seni dan warisan yang dipamerkan melalui setem,” katanya.

Pada 13 November lalu berlangsung Program Minggu Setem 2025 di Institusi Latihan Pos Malaysia.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Berhad, Haidan Abdul Rahman berkata tema pameran tahun ini berteraskan animasi klasik tempatan yang membawa nilai sentimental dan sejarah tersendiri.