Dr Md Rozalafri Johori menyelak helai demi helai sebuah album setem. Album dengan kulit berwarna hitam itu menyimpan ratusan keping setem, terpelihara rapi di sebalik lapik plastik pada setiap helai halaman album. Sebahagian helaiannya sudah kekuningan dimamah usia.
Bagi pensyarah itu, album setem dan setiap keping setem yang tersimpan pada setiap helaiannya menyingkap kembali kenangan peribadi kepada ibu. Walaupun helaiannya sudah kekuningan, kenangan mengumpul setem bersama ibunya kekal tersemat.
“Mak yang perkenalkan saya kepada setem, sejak saya tadika. Dia kumpul, beli album dan bagi kepada saya,” katanya ketika ditemui di sebuah kafe di Bangi, baru-baru ini.
Apabila melangkah ke sekolah rendah, dunia setem Md Rozalafri jadi lebih warna-warni. Waktu rehat jadi saat yang dinanti-nanti untuk dia bertukar-tukar setem dengan rakan-rakan yang selalu bahagia dapat saling berkongsi koleksi.
Pada masa itu, imbaunya, setem yang paling disayanginya ialah yang memaparkan imej haiwan.
“Ada satu hari, ketika di sekolah rendah, ada pelajar baru berpindah dari bandar ke sekolah kampung kami. Dia juga kumpul setem, tapi lebih advance dari saya dan kawan-kawan sebab dia ada setem dari luar negara.
“Memang heboh waktu itu, dia ada setem dari luar negara. Teruja juga bila rakan yang baru pindah dari bandar membawa koleksi setem luar negara,” katanya.
Bagi Md Rozalafri, setem bukan sekadar alat pos. Setem adalah jendela ke masa lalu yang menyimpan seribu cerita tentang ibu, juga tentang waktu dan kenangan yang tidak pernah pudar.
“Apabila sebut pasal setem, memang saya teringatkan mak,” katanya.
Empat dekad kemudian, minat itu masih utuh. Kalau dulu berkongsi kegembiraan tentang setem dengan kawan-kawan semasa waktu rehat di sekolah, sekarang Md Rozalafri kerap berbahagi cerita tentang setem dengan jaringan sahabat yang lebih luas di media sosial.
Pada Hari Kebangsaan ke-68 yang lepas, dia menulis di Facebook tentang dua setem yang dikeluarkan sempena ulang tahun pertama Malaya merdeka.
Sampul surat hari pertama bertarikh 31 Ogos 1958 itu dilekatkan dengan dua setem masing-masing dengan nilai muka 10 sen dan 30 sen.
Setem 10 sen menggambarkan Stadium Merdeka, tempat sambutan rasmi perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu. Setem 30 sen pula memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman, simbol kedaulatan negara yang baru lahir.
“Sampul surat hari pertama ini, yang diposkan dari Bentong, bukan sekadar kertas dan dakwat. Ia adalah jejak sejarah mengingatkan kita bahawa kemerdekaan bukan datang mudah, tetapi hasil pengorbanan, doa, dan kesepaduan rakyat,” tulis beliau di Facebook.
Dalam tulisan kenang-kenangannya, dia juga mengimbau generasi muda untuk terus mempertahankan kemerdekaan tanah air dan bertindak untuk mengisi makna kemerdekaan.
“Hari ini, selepas 68 tahun, bendera Jalur Gemilang masih berkibar megah. Kita mungkin berdepan cabaran baharu iaitu ekonomi, sosial, digital, tetapi roh kemerdekaan tetap sama: bersatu, berdaulat, dan bermaruah.
“Semoga generasi kita terus menghargai perjuangan ini, bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan yang menyumbang kepada agama, bangsa, dan negara,” katanya.

Di tengah kepesatan perkembangan komunikasi masa kini, mengutus surat atau poskad tidak lagi menjadi pilihan umum.
Tetapi bagi Md Rozalafri, beliau masih mengutus poskad kepada anaknya yang bersekolah asrama.
Beliau melakukannya bukan sahaja kerana mahu menghidupkan semula kenangan lama dunia filateli tetapi memastikan warisan itu terus dirasai generasi muda dan nilai sentimental komunikasi bertulis tidak hilang ditelan teknologi.
“Saya fikir, saya ada memori dengan filateli, setem, poskad, surat dengan mak saya. Jadi itu satu kenangan indah dan saya nak buat satu kenangan indah dengan anak dan isteri saya.
“Sebenarnya, semasa saya bercinta dengan isteri pun, saya selalu hantar poskad kepadanya dan saya masih simpan hingga kini.
“Saya hantar poskad kepada anak di rumah atau asrama, mula-mula saya ingat dia tidak hiraukan, tetapi rupa-rupanya mereka bawa pulang ke asrama poskad itu untuk ingatan kepada keluarga,” katanya.
Naratif besar bangsa dan negara
Setiap keping setem kini tidak lagi hanya menyimpan kenangan peribadi tetapi juga sejarah dan ingatan bersama sebuah negara dan bangsa, mencerminkan sejarah dan budaya yang membentuk negara.
Setem merakam bersamanya cerita tersendiri atau naratif besar yang layak diabadikan untuk generasi akan datang.
Konteks setem yang lebih besar inilah yang menjadi dasar penubuhan muzium setem di Shah Alam yang dijangka mula beroperasi pada 2027.
Muzium seperti ini bukanlah sesuatu asing kerana ada juga di beberapa kota besar dunia antaranya di Washington, London, dan Stockholm serta, yang lebih dekat di rantau ini, di Jakarta dan Bangkok.
Muzium setem di Shah Alam itu juga nanti bukan sekadar mercu tanda baharu.
Muzium yang terletak di Seksyen 14, Shah Alam itu akan menunjukkan bukti perjalanan sejarah negara yang terakam melalui dunia filateli.

Setem bukan sekadar sekeping kertas kecil tetapi terkandung padanya rekod sejarah negara merentas zaman.
Muzium tersebut akan menjadi wadah ilmu dan rujukan untuk generasi muda memahami sejarah serta identiti negara melalui filateli.
“Dengan adanya muzium setem ini, masyarakat dapat mengenali negara kita dengan lebih dekat melalui kacamata filateli,” kata Presiden Persatuan Filateli Malaysia Muhamed Salim Mohd Ali.
Beliau memberi contoh bagaimana setem mengabadikan pelbagai peristiwa penting negara, antaranya pelancaran kereta nasional Proton Saga pada 1985 dan kejayaan Malaysia memenangi Piala Thomas pada 1992.
Setem juga, tambahnya, memaparkan keindahan flora dan fauna tempatan yang menjadi kebanggaan Malaysia.
"Melalui pelbagai tema, tarikh dan ilustrasi, setem mengangkat seni, budaya serta warisan negara,” katanya.
Persatuan Filateli Malaysia ditubuhkan pada 1947 dan kini mempunyai kira-kira 4,500 ahli. Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang juga memiliki koleksi setem unik dan bernilai tinggi adalah penaung persatuan sejak 2008.
Muhamed Salim berharap muzium setem di Shah Alam nanti akan tampil dengan konsep moden dan interaktif bagi menarik minat remaja dan kanak-kanak mendekati dunia filateli.
Katanya, usaha ini penting untuk memudahkan generasi muda memahami penceritaan sejarah yang terakam pada setem.
“Wujudkan juga kios supaya pelawat boleh membeli setem, memulakan koleksi peribadi dan merasai pengalaman mengepos surat atau poskad,” katanya yang memiliki 13,000 koleksi setem yang dikumpul sejak empat dekad lalu.
"Setem ini penuh nilai sejarah, patriotisme dan nasionalisme."
Setem perakam evolusi masyarakat
Bagi pengumpul setem, Tan Chee Hui, hobi itu membantunya mengenal sejarah negara. Beliau menganggap setem adalah artifak penting yang merekod peristiwa sejarah, budaya dan evolusi masyarakat Malaysia dari masa ke masa.
Katanya, aktiviti mengumpul setem membolehkannya memahami perjalanan sejarah negara, perkembangan komunikasi melalui surat-menyurat serta nilai patriotisme dan nasionalisme yang terkandung dalam setiap reka bentuk setem.
"Setiap setem mencerminkan konteks sosial, politik dan ekonomi pada zamannya, sekali gus menjadi sumber pembelajaran interaktif bagi generasi muda yang ingin menelusuri warisan dan identiti negara.
"Setem merupakan satu artifak yang merekod sejarah sosial dan komunikasi, yang mana surat-menyurat pernah menjadi medium penting," katanya.


