ad

MBSA tawar insentif, galak penduduk mohon TOL buka kebun komuniti

15 Nov 2025, 8:08 AM
MBSA tawar insentif, galak penduduk mohon TOL buka kebun komuniti
MBSA tawar insentif, galak penduduk mohon TOL buka kebun komuniti

SHAH ALAM, 15 NOV: Warga Shah Alam yang berminat membangunkan kebun komuniti digalakkan memohon Lesen Pendudukan Sementara (TOL), dengan insentif disediakan bagi membolehkan tanah terbiar termasuk kawasan bawah rentis Tenaga Nasional Berhad (TNB) diusahakan secara sah.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata sejak projek kebun komuniti dimulakan pada 2014, kini terdapat lebih 20 tapak aktif dan jumlah itu dijangka meningkat jika lebih ramai penduduk memohon TOL untuk membuka tapak baharu.

“Penduduk digalak mengaktifkan semula kawasan terbiar dengan membangunkan kebun komuniti agar memberi manfaat terus kepada komuniti setempat.

“Bagi memudahkan pembukaan kebun baharu, MBSA menyediakan insentif permulaan seperti cangkul, baja dan peralatan asas untuk membantu peserta memulakan projek pertanian,” katanya ketika ditemui di Kebun Komuniti Seksyen 8 Timur Shah Alam, pagi tadi.

Mohd Fauzi menambah, MBSA turut merancang memperkenalkan penggunaan tenaga solar di kebun komuniti bagi menyediakan pencahayaan lebih cekap dan mesra alam.

“Penggunaan solar ini akan membantu menerangi kawasan kebun dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat serta kondusif untuk komuniti,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, komitmen MBSA dalam memperkasa projek ini selaras dengan hasrat mewujudkan bandar raya yang lestari, produktif dan berdaya saing untuk semua lapisan masyarakat.