ad

Pusat data di Selangor perlu guna 30 peratus kandungan tempatan

15 Nov 2025, 3:24 AM
Pusat data di Selangor perlu guna 30 peratus kandungan tempatan

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri menetapkan sasaran 30 peratus kandungan tempatan dalam pembangunan industri pusat data sebagai usaha meningkatkan penglibatan syarikat tempatan dalam sektor berimpak tinggi itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata komponen kandungan tempatan tersebut merangkumi sistem pelayanan, rangkaian serta sistem kecekapan tenaga.

“Ini penting agar pembangunan pusat data yang menggunakan tanah di Selangor turut membawa manfaat kepada syarikat tempatan yang sudah pun mempunyai keupayaan sendiri serta memberi ruang untuk mereka berkembang.

“Dasar ini juga akan mengurangkan kos pembangunan dan operasi bagi pelabur pusat data selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2026, semalam.

Bagi tahun 2026, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM3.23 bilion, terdiri daripada RM1.86 bilion (57.6 peratus) bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.37 bilion (42.4 peratus) untuk pembangunan.

Amirudin turut menganggarkan kutipan hasil negeri sebanyak RM2.8 bilion dengan premium tanah menjadi penyumbang tertinggi iaitu RM1.02 bilion.

Penyumbang kedua terbesar ialah cukai tanah berjumlah RM691.27 juta diikuti pemberian persekutuan sebanyak RM263.16 juta.