SHAH ALAM, 14 NOV: Sejumlah RM4.85 juta diperuntuk dalam usaha memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negeri, kata Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari selain itu berkata pembangunan agro food park serta tanah berpotensi menerima peruntukan RM9.5 juta bagi mengukuhkan industri asas tani negeri.
"Selangor turut perkukuh usaha keterjaminan bekalan makanan dengan tindakan lebih aktif untuk meningkatkan penggunaan teknologi perlindungan hujan, sistem pengesan biosensor, mekanisasi dan automasi agar hasil penuaian ditingkatkan.
"RM4.85 juta diperuntuk secara keseluruhannya termasuk melibatkan pembangunan agro food park bagi mengukuhkan industri asas tani negeri," katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2026 hari ini.

Mac lalu, Amirudin melancarkan Gudang Makanan Selangor (GMS) sebagai usaha mengukuhkan jaminan rantaian bekalan serta memastikan kestabilan harga barang.
Katanya, menggunakan fasiliti syarikat logistik Tiong Nam di Pelabuhan Klang, gudang itu menempatkan 5,000 tan beras dan 1,000 tan daging sejuk beku Allana yang mampu memenuhi keperluan kira-kira 20 peratus rakyat Selangor.
Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntuk RM900,000 dalam usaha pemadanan usahawan dan promosi dalam industri halal.
"Usaha diteruskan melalui Halalfest, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan Konvensyen Antarabangsa Halal Selangor (Selhac).
"Selain itu, bagi mengoptimumkan proses semakan pensijilan, kerajaan akan menginovasikan sistem semakan digital pantas dengan memperuntuk RM200,000 supaya lebih ramai pengusaha dapat mengakses selain lebih teratur dan pantas," katanya.





