ad

Selangor Research Institute terajui Selangor@100, rangka masa depan negeri hingga 2057

14 Nov 2025, 10:30 AM
Selangor Research Institute terajui Selangor@100, rangka masa depan negeri hingga 2057

SHAH ALAM, 14 NOV: Selangor Research Institute (SRI) bakal menerajui Program Selangor@100 yang berperanan sebagai kompas strategik untuk memandu keputusan pentadbiran negeri dalam memastikan setiap pembangunan memberi manfaat jangka panjang sehingga 2057.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berimpak besar itu menerima dana RM2 juta bagi melaksanakan penyelidikan mendalam, libat urus bersama pemegang taruh serta analisis trend global yang diperlukan untuk merangka hala tuju jangka panjang negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 14 November 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Program ini memberi fokus kepada kelestarian ekonomi, kemajuan sosial, ketahanan infrastruktur dan kesejahteraan generasi mendatang.

“Usaha ini bertujuan mewujudkan satu rangka dasar menyeluruh yang merentas sektor meliputi pendidikan, inovasi teknologi, ekonomi hijau, mobiliti, keselamatan makanan dan tadbir urus digital.

“Ia bagi memastikan Selangor kekal sebagai negeri termaju serta berdaya saing dalam tempoh 100 tahun selepas penubuhan Malaysia,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, hari ini.

Bagi memastikan agenda kelestarian turut digerakkan dari peringkat akar umbi, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut memperuntuk RM500,000 untuk Program Pemerkasaan Komuniti dan Belia Setempat.

“Inisiatif ini memfokuskan pelaksanaan program berimpak langsung seperti pemuliharaan sungai dan ekosistem setempat, penghijauan persekitaran oleh sekolah, institusi pengajian tinggi dan persatuan penduduk.

“Selain itu, menggalakkan aktiviti pengurusan sisa, amalan kitar semula dan pengkomposan di peringkat komuniti,” katanya lagi.

Sebelum ini, Amirudin menekankan bahawa Selangor dan Malaysia harus keluar daripada bayang-bayang ketakutan, khususnya menjelang 100 tahun kemerdekaan negara yang akan dicapai pada 2057, 32 tahun lagi.

Katanya, pencapaian itu boleh direalisasikan melalui pemahaman masyarakat dalam ilmu pengetahuan serta keupayaan bidang sains dan teknologi.

Beliau turut mengimpikan Selangor dan Malaysia menjadi generasi yang mampu mencari kebenaran serta menolak yang salah menjelang hari kemerdekaan ke-100 tahun kelak.

“Bagi saya asas-asas inilah yang kemudian kita teliti dan sambut demi menyediakan 100 tahun Selangor yang cemerlang, yang hebat dan bertambah maju,” ujarnya dalam syarahan kebangsaan.