SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Sistem Penguatkuasaan Bersepadu (SPKB) di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) mulai 2026, menggantikan kaedah manual sebelum ini.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif ini sebahagian daripada Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus Negeri Selangor (RSTU) yang dilancarkan pada 4 Ogos 2025, bertujuan mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan awam.
"Sebagai permulaan beberapa inisiatif telah dikenal pasti di peringkat PBT. Ini termasuk penggunaan SPKB yang dibangunkan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor.
"Sistem ini berfungsi menyelaras dan menyatukan pelbagai data penguatkuasaan pada satu platform utama berbanding penggunaan kaedah manual sebelum ini. Sistem ini akan diperkenalkan di beberapa PBT lain mulai tahun 2026," katanya membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Selain SPKB, Kerajaan Negeri sedang membangunkan Indeks Pengukuran RSTU untuk menilai empat komponen utama: Kualiti Penyampaian, Integriti, Kepercayaan dan Tadbir Urus.
"Bagi melaksanakan inisiatif ini Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta dalam Belanjawan Selangor 2026,” katanya.
RSTU yang dilancarkan Ogos lalu sebagai pemacu utama pelaksanaan dasar negeri dan penyelarasan dasar Kerajaan Persekutuan.
Dirasmikan Amirudin, pelaksanaan kerangka reformasi itu menumpukan lima objektif utama supaya pembaharuan sistem penyampaian dan tadbir urus cekap dan berimpak.
Terdiri lapan fokus strategik meliputi tadbir urus dan integriti, reformasi penyampaian, pemecahan budaya silo dan reformasi aduan.
Seterusnya, modal insan berdaya, pemerkasaan akar umbi, pengukuran dan pemantauan program serta penilaian berasaskan hasil.




