SHAH ALAM, 14 NOV: Belanjawan Selangor 2026 bukan sekadar dokumen fiskal, tetapi sebuah naratif tanggungjawab moral kerajaan untuk memastikan kemajuan ekonomi diterjemah kepada kesejahteraan rakyat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata angka sahaja tidak mencukupi; setiap dasar perlu mempunyai makna yang mampu difahami dan dirasai rakyat.
"Kemajuan sebenar bukan datang dari luar sistem, tetapi dari dalam melalui inovasi, pembelajaran, dan pembangunan modal insan. Justeru, kerajaan bukan sahaja menguruskan perbelanjaan, tetapi menanam benih inovasi dalam akal budi rakyat.
“Dalam konteks Selangor, setiap pelaburan dalam pendidikan, penyelidikan, dan latihan teknikal bukan sekadar perbelanjaan, tetapi pelaburan dalam produktiviti dan kreativiti masa depan rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Namun, Amirudin turut mengingatkan bahawa inovasi boleh menimbulkan ketidaksamaan jika tidak dikawal. Kerajaan mengambil peranan sebagai penjaga moral untuk memastikan hasil kreativiti ekonomi tidak dimonopoli oleh segelintir pihak, sebaliknya dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Belanjawan 2026 juga menulis semula naratif keyakinan bahawa kemajuan negeri ini tidak ditentukan oleh angka semata-mata, tetapi oleh daya cipta, solidariti, dan makna yang diberikan kepada pembangunan.
Tiga prinsip utama menjadi teras Belanjawan Selangor 2026. Pertama, keterangkuman, bagi memastikan setiap kemajuan ekonomi dirasai oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang atau kawasan.
Kedua, ketahanan, bertujuan membina daya tahan negeri dalam menghadapi sebarang krisis ekonomi, sosial, atau alam sekitar.
Ketiga, keindahan makna, memastikan setiap dasar dan perbelanjaan bukan sekadar angka semata, tetapi mampu mengangkat darjat rakyat dan memberikan impak sosial yang bermakna.
Jumlah peruntukan Belanjawan Selangor 2026
Dalam Belanjawan Selangor 2026, sebanyak RM 3.23 billion diperuntuk untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Negeri juga dijangka mengekalkan pertumbuhan pada kadar sederhana antara 5.0 peratus hingga 5.5 peratus, melebihi purata nasional menjelang 2026.
Bagi hasil boleh dikutip, Selangor menjangkakan kutipan sebanyak RM 2.8 billion pada 2026, dengan premium tanah dijangka mengutip RM 1.02 billion.
Untuk rekod, kutipan hasil negeri mencecah RM2.5 bilion setakat November, melebihi anggaran 2025 sebanyak RM2.35 bilion.
Rizab negeri juga terus kukuh dan stabil mencecah RM4.83 bilion setakat 12 November lalu, meningkat sebanyak RM706.23 juta berbanding tahun lalu.
Enam tekad Belanjawan Selangor 2026 meliputi:
Sumber Hasil Negeri, Peluang Ekonomi Rakyat
Reformasi Tadbir Urus Memartabatkan Bangsa
Mencorak Pendidikan Melakar Masa Depan
Keunggulan Seni Budaya dan Kemantapan Generasi Muda
Selangor Negeri Penyayang
Kelestarian Alam Sekitar dan Kebitaraan Infrastruktur




