ad

Kutipan hasil Selangor cecah RM2.5 bilion, lebihi sasaran sejak 2019

14 Nov 2025, 8:41 AM
Kutipan hasil Selangor cecah RM2.5 bilion, lebihi sasaran sejak 2019

SHAH ALAM, 14 NOV: Kedudukan hasil negeri mencecah RM2.5 bilion setakat ini, melebihi anggaran hasil 2025 sebanyak RM2.35 bilion, kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.

Beliau menjangka kutipan hasil itu melebihi RM2.7 billion penghujung tahun ini, di sebalik keadaan ekonomi dan geopolitik yang semakin mencabar ketika ini.

"Untuk rekod, jumlah hasil sebenar melebihi sasaran yang ditetapkan setiap tahun adalah bermula tahun 2019," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 hari ini.

"Tahniah saya ucapkan kepada pasukan penjawat terutama pegawai-pegawai di unit hasil yang bertungkus-lumus mencapai hasil tahun ini."

Daripada jumlah tersebut, Amirudin berkata hasil cukai merekodkan kutipan sebanyak RM733.28 juta, hasil bukan cukai RM1.504 bilion dan terimaan bukan hasil (RM257.72 juta).

Tahun lalu, Selangor merekodkan hasil sebanyak RM2.429 bilion, bersamaan 110.43 peratus daripada anggaran hasil 2024 sebanyak RM2.2 bilion.

Untuk tahun hadapan, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil boleh dikutip berjumlah RM2.8 bilion, dengan premium tanah sebagai penyumbang utama sebanyak RM1.02 bilion.