ad

Lelaki ditahan disyaki terlibat pemalsuan anugerah kehormat, gelaran istiadat

13 Nov 2025, 1:27 PM
Lelaki ditahan disyaki terlibat pemalsuan anugerah kehormat, gelaran istiadat

IPOH, 13 NOV: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan pemalsuan anugerah kehormatan dan gelaran istiadat di sebuah rumah di Taman Banjar Jaya, Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata penahanan itu hasil risikan dan pemantauan pegawai tangkapan bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menerusi Ops Puyuh (Penyamaran).

“Suspek disyaki terlibat dalam pemalsuan gelaran kehormatan tidak sah serta pemalsuan dokumen Persatuan Bekas Polis Malaysia bagi tujuan memperdayakan pihak tertentu.

"Hasil soal siasat awal, suspek mengaku terlibat dalam pemalsuan gelaran kehormatan dan dokumen pertubuhan tidak sah. Kes masih dalam siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat dari BSJK IPD Hilir Perak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata beberapa keping dokumen “watikah penganugerahan” dan “kebenaran meletakkan panggilan adat pertubuhan dalam dokumen rasmi”, pelbagai sijil, lambang serta kad keahlian berkaitan pertubuhan tidak sah, selain gambar suspek berpakaian istiadat dengan pelbagai gelaran kehormatan palsu turut dirampas.

Bakri berkata rampasan juga melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis dengan pelekat dan lambang kehormatan tidak diiktiraf serta sebuah telefon bimbit dan kad sim yang dipercayai digunakan bagi urusan penyamaran.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Anugerah Persendirian 2017 yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan berkaitan pemakaian atau pengeluaran anugerah kehormatan tidak sah.

Dalam pada itu, Bakri berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Hilir Perak mencatatkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM600,000 bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Antara rampasan terbesar melibatkan 8,751.14 gram heroin bernilai RM437,557, diikuti 2,369.2 gram ganja bernilai RM118,460, selain syabu, erimin, ketamin, ekstasi dan mitragynine dalam pelbagai bentuk.

“Rampasan ini menunjukkan keberkesanan operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Hilir Perak termasuk tindakan risikan, serbuan dan pemantauan bersepadu dengan agensi berkaitan,” katanya.