Polis tahan 12 individu terbabit sindiket pusat panggilan

12 Jun 2026, 10:06 AM
Polis tahan 12 individu terbabit sindiket pusat panggilan

MELAKA, 12 JUN: Polis menahan 12 individu dipercayai terlibat dalam sindiket pusat panggilan melibatkan dua serbuan di Taman Krubong Perdana di sini, awal pagi Rabu lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintenden Halim Abas berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki warga China, seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berumur antara 23 hingga 47 tahun.

"Dalam serbuan pertama pada 2.30 pagi, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka menahan enam individu terdiri daripada lima lelaki warga China dan seorang lelaki tempatan, manakala serbuan kedua pada 3 pagi dengan lima lagi lelaki warga China serta seorang wanita tempatan ditahan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.

Halim berkata hasil semakan pakar analisis media sosial mendapati kedua-dua sindiket menjalankan aktiviti penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud disyaki menyasarkan warga China menerusi platform digital.

Beliau berkata siasatan mendapati kedua-dua sindiket itu mula beroperasi sejak awal Jun lepas dan menggunakan aplikasi Mi Chat untuk berhubung dengan mangsa.

"Kesemua suspek didapati berperanan sebagai khidmat pelanggan dengan menghubungi pelanggan sasaran untuk memberikan penerangan tentang pelaburan dalam talian yang boleh diakses menerusi pautan yang diberi.

"Mangsa akan memilih pelaburan ditawarkan dan membuat pembayaran kepada ahli sindiket lain yang masih bebas," katanya.

Halim berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas 12 set monitor, tetikus dan papan kekunci, 12 unit CPU, 12 telefon bimbit, dua set modem serta router bernilai kira-kira RM40,000 dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan kesemua suspek direman bermula dari 10 hingga 23 Jun ini.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada sebelum melakukan sebarang transaksi pemindahan wang serta membuat semakan dengan pihak bank atau polis sekiranya berasa curiga terhadap sesuatu urusan kewangan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.