SHAH ALAM, 13 NOV: Seorang pekerja rentung selepas kilang sampah di Jalan Seelong Senai, Kulai, Johor terbakar hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Muhammad Asri Yousri berkata mangsa yang maut adalah lelaki tempatan berumur 35 tahun.
Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.40 pagi dan pasukan sembilan anggota dengan tiga jentera dikejarkan ke lokasi, lapor Harian Metro.
"Setibanya pasukan, didapati kebakaran kilang sampah berkeluasan 60x80 meter persegi separa kekal itu sudah musnah 20 peratus.
"Terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam kilang terbabit dan dijumpai rentung. Operasi pemadaman segera dilakukan sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya," katanya.
Muhammad Asri berkata, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.




