ad

Remaja berhenti sekolah selepas jadi mangsa buli bakal pelajar GiatMara

13 Nov 2025, 8:46 AM
Remaja berhenti sekolah selepas jadi mangsa buli bakal pelajar GiatMara

SHAH ALAM, 13 NOV: Kisah remaja perempuan berusia 17 tahun yang pernah menjadi mangsa buli mendapat perhatian Majlis Amanah Rakyat (Mara) apabila ditawarkan peluang menyambung pelajaran di GiatMara Muar dalam bidang kulinari.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya terpanggil membantu selepas kisah remaja itu tular di media sosial hasil perkongsian seorang pemuda yang mendapati remaja dikenali Syafikah itu membantu ibunya berniaga sarapan di warung kecil di Tangkak, Johor.

“Isu buli bukan perkara kecil dan tidak normal. Ia boleh mematahkan semangat serta menghancurkan masa depan anak bangsa.

“Kisah adik Syafikah ini mengingatkan kita bahawa setiap anak berhak diberi peluang kedua. Dengan kasih masyarakat dan peluang pendidikan, dia mampu bangkit sebagai insan berjaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini, lapor Berita Harian.

Dr Asyraf memaklumkan, hasil koordinasi bersama GiatMara Johor dan pemimpin komuniti setempat, Syafikah akan memulakan latihan dalam bidang kulinari yang menjadi minatnya sejak kecil.

Beliau menambah, Mara akan menanggung semua kos pengajian termasuk elaun bulanan, keperluan asas dan bantuan penginapan hasil kerjasama Persatuan Ibu Bapa Komuniti Swasta (PIBKS) daerah Ledang.

Sebelum ini, Syafikah dilaporkan berhenti sekolah tahun lalu selepas dibuli secara mental dan fizikal sejak Tingkatan Satu. Dia mendakwa tidak mendapat sokongan sewajarnya daripada pihak sekolah dan akhirnya hilang semangat untuk belajar.

Kini, remaja itu membantu ibunya berniaga, sementara bapanya yang kehilangan sebelah kaki tidak dapat bekerja tetap.

“Alhamdulillah, sinergi bersama pemimpin komuniti setempat dan pihak GiatMara Johor berjaya membuka jalan baharu buat Syafiqah.

“Saya sering tekankan bahawa hanya ilmu mampu mengubah kehidupan seseorang,” ujar Dr Asyraf yang turut menasihati Syafikah agar terus menjaga solat dan memperkukuh hubungan dengan Allah SWT.