ad

JKM Selangor teliti cadangan ubah suai bangunan terbengkalai jadi pusat warga emas

13 Nov 2025, 5:31 AM
JKM Selangor teliti cadangan ubah suai bangunan terbengkalai jadi pusat warga emas

HULU LANGAT, 13 NOV: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor sedang meneliti cadangan mengubah suai bangunan terbengkalai agar dapat dimanfaatkan semula sebagai pusat penjagaan dan aktiviti warga emas.

Pengarahnya, Azmir Kassim berkata, penelitian itu meliputi aspek keselamatan, kesesuaian lokasi serta kemudahan asas sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita ada mengenal pasti beberapa lokasi buat masa ini, tetapi ini masih di peringkat awal perancangan. Kalau ada mungkin tahun hadapan kita akan lihat kepada pelaksanaan yang sesuai.

“Kita sedang melihat di dua kawasan sekarang ini iaitu Sabak Bernam dan Sungai Buloh. Tapi masih panjang lagi prosesnya, kita akan lihat nanti.

“Antara yang kita akan lihat adalah bilangan atau populasi warga emas yang ada di situ dan ada tak isu-isu berkaitan penjagaan dan sebagainya yang berlaku di kawasan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Kebajikan Anfaal Shaari dilaporkan berkata Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan mengubah suai bangunan terbengkalai supaya boleh dimanfaatkan semula sebagai pusat penjagaan dan aktiviti warga emas.

Menurutnya, sekiranya cadangan itu sesuai, ia bukan hanya akan melibatkan penambahbaikan aspek fizikal bangunan, tetapi juga penyusunan semula garis panduan pusat penjagaan supaya lebih relevan dengan perubahan demografi dan keperluan semasa.